Sunday, July 12, 2009

Putera Tsunami...

Cerpen ni diinspirasikan daripada ombak laut Tanjung Piai.Masa makan tengah hari...takut sangat...ingatkan tsunami..Dalam masa yang sama ada gempa bumi dekat sumatera.Syukur alhamdulillah..tak ada apa yang berlaku...Mungkin ada kelemahan pada karya ni...Selamat membaca...=)


Gelombang tsunami yang melanda sekitar perairan Asia tatkala mentari tegak berdiri menggemparkan dunia.Tragedi 26 Disember itu membunuh ratusan ribu nyawa bersama segala yang ada.

***

Muhaimin sedang memandu sendirian tatkala kirmizi senja melatari langit.Khabar yang diketahui sebentar tadi meruntun hatinya untuk segera ke sana.Di layar mindanya terbayang wajah-wajah yang penuh sengsara.Anak-anak kehilangan ibu bapa.Mahligai indah tempat berteduh yang telah lama terbina ranap sekelip mata.Terbentuk segara di atas darat.Penghuninya terdiri daripada manusia-manusia yang terbujur dan kebendaan dunia yang tersungkur.Kereta,meja,lori,bas,malah pepohon nyiur menjadi sampah yang terapung di segara darat itu.Tsunami yang datang tanpa undangan itu amat mengejutkan.Rakaman-rakaman kejadian yang dilihatnya di kaca televisyen sewaktu di restoran tengah hari tadi menyentuh nalurinya.
“ Ya,aku pasti akan ke sana!” bisiknya sendirian.

***

Selesai solat maghrib,Muhaimin duduk di birai katil.Kain sejadah yang menjadi alas ketika sujud telah dilipat kemas.Ketayap di kepala diturunkan dari atas kepalanya.Tasbih di jari digerakkan satu persatu.Dan tatkala itu,Zahiah teman hidupnya baru selesai membersihkan diri.Lantas,dia mengambil tempat Muhaimin sujud sebentar tadi.Muhaimin hanya memandang.Sebentar lagi,rencananya untuk ke Acheh akan dikhabarkan pada Zahiah.
Zahiah memalingkan mukanya ke kiri tanda salam terakhir.
“Za,abang nak beritahu ni.” Muhaimin memulakan bicara.
Zahiah hanya memandang ke arah Muhaimin.Dia membungkamkan diri.
“Za,minggu depan abang nak berangkat ke Acheh,” ujar Muhaimin.
Zahiah tersentak.Bola matanya pantas tertancap ke arah Muhaimin.Degup jantungnya kuat berdetak.Dia bingkas ke birai katil untuk mendapatkan Muhaimin.
“Abang ke sana untuk misi kemanusiaan?” soal Zahiah.Ada garis keresahan di wajah syumulnya.Tangannyaa yang halus ditautkan bersama tangan kasar Muhaimin.
“Ya,tengah hari tadi Majid telefon abang.Jawatankuasa dah berbincang nak hantar sukarelawan ke Acheh.”
“Abang nak pergi?”
“Mestilah abang nak pergi.Itu tanggungjawab Za.”
Zahiah diam membisu.Dahinya berkerut.Bibirnya tanpa suara.Di sudut kamar hatinya dia tidak mahu Muhaimin berangkat ke Serambi Mekah itu.Tragedi semalam masih segar di kotak minda.Dia bimbang sesuatu yang buruk akan terjadi ke atas Muhaimin.
“Bang...tak usahlah pergi,bahaya.”
“Tak ada bahayanya,Za.Abang ke sana nak membantu mereka yang sengsara.”
“Za takut tsunami mengganas lagi.Kalau pun tak ada tsunami,Za takut gempa pula yang datang!”
“Za,tiada mara bahaya melainkan keangkuhan.Tiada mara damai melainkan keikhlasan.Za ingat?”
Zahiah terdiam.Ada logika pada kata Muhaimin itu.Jika ikhlas dalam sesuatu,pasti suatu masa nanti Allah akan membantu.
“Tapi,Za risaukan abang,” ujarnya sayu.
Ada titik jernih mengalir dari kolam matanya.Dia tidak rela Muhaimin ke Acheh.Dia tidak rela ditinggalkan.Apa yang akan terjadi kepada dia dan anak-anaknya?Itu yang dirisaukannya.Hanya kerana sekelumit resah itu dia menghalang hasrat murni Muhaimin menunaikan tanggungjawab yang dituntut itu.
“Apa pun kata Za,abang tetap pergi.Ini masa orang,abang tolong.Masa kita nanti?”Muhaimin bangun.
Ditinggalkan Zahiah dalam sendu dan sayu.Namun,dia pasti satu masa nanti Zahiah akan faham tindakannya itu.Malam itu suasana sepi melatari teratak Muhaimin.Perselisihan antara Adam dan Hawa itu seakan-akan difahami alam.Langit yang terbentang luas kosong.Tiada kejora yang memancarkan sinar.
Muhaimin bangun pada satu pertiga malam itu.Dia mengangkat wuduk dan sujud menghadap Tuhan.Selepas salam,dia menadah tangan memohon petunjuk daripada Yang Esa.Dimohonnya agar Zahiah merelakan pemergiannya.Dimohonnya agar dirinya serta keluarganya nanti dipayungi rahmat dan reda-Nya.Diharapkan daripada Yang Esa agar hasrat murninya diterima dan tidak akan terpesong.

***

Suasana hingar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pagi itu.Kelihatan kelibat manusia di sana sini.Di satu sudut,kelibat Muhaimin dan pasukan sukarelawannya sedang berkumpul menanti waktu untuk berlepas.Bongkah-bongkah beg telah diisi ke dalam perut pesawat.Kini giliran sang sukarelawan masuk ke perut pesawat.Langkah sejati mereka diiringi doa-doa dan harapan..
Beberapa jam berlegar di angkasa,pesawat itu mendarat di sebuah kawasan lapang yang terselamat daripada menjadi mangsa ombak gila itu.Barang-barang bantuan dan kesemua yang datang dari Malaysia dipindahkan ke beberapa buah helikopter.Pengagihan ini dapat memudahkan kelancaran ke tapak tragedi.
Fatamorgana dari atas jelas kelihatan.Betapa hebat gelombang tsunami itu.Betapa agungnya kuasa Yang Esa menunjukkan kebesaran-Nyaa.Siapa sangka,bumi yang subur dengan keindahan alam,bumi yang dulu tapak berkembangnya syiar,kini tandus dan musnah sekelip mata.Perspektif Muhaimin tertumpu di daerah lesu itu.Acap kali dia pergi menghulurkan bantuan kemanusiaan.Tetapi ketika itu atmanya tidak berasa sesuatu yang hiba.Mungkin kerana konflik bersama Zahiah atau kekuasaan Allah yang dilihatnya itu.Namun dikuatkan semangatnya.Dipujuk hati dan perasaannya.Misi itu harus dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan ketabahan.Dia bukan sahaja memberi bantuan kebendaan,malah nanti dia akan membantu dari sudut spiritual.

***
Kampung Aro,kawasan yang teruk dilanda tsunami.Setibanya kumpulan sukarelawan itu di Kampung Aro,suram dan sepi menyambut mereka.Hanya timbunan kayu,kepingan-kepingan zink dan sampah sarap di sana sini.Di sudut yang lain,hanya tiang kerangka dan tapak rumah yang tinggal.Lumpur-lumpur hitam terpalit di setiap inci pelosok itu.Tiba-tiba bau yang hanyir dan busuk menusuk ke lubang hidung.Serta-merta Muhaimin menekup hidungnya dengan sehelai sapu tangan.Dia melewati kawasan itu sepantas mungkin.Bimbang dia akan memuntahkan isi perutnya.
Muhaimin dan ahli sukarelawan yang lain terus menuju ke satu dataran yang selamat untuk mendirikan khemah.Kenderaan yang membawa segala peralatan mereka telah terlebih dahulu tiba.Kawasan itu bernasib baik kerana jalan penghubungnya tidak terputus.Dengan bantuan warga dan petugas tempatan,mereka mendirikan khemah-khemah.Sebuah khemah dikongsi bersama sukarelawan Mercy Malaysia untuk memberikan rawatan kepada mereka yang memerlukan.Sebuah khemah lagi digunakan untuk menyimpan barang-barang bantuan dan tempat istirahat mereka.Khemah-khemah lain dan khemah yang sedia ada didirikan menjadi tempat perlindungan mangsa bencana alam itu.
Mentari di ufuk barat hampir berlabuh.Siang yang tadi suram semakin suram menghampiri lewat senja itu.


***
Hari itu,pagi-pagi lagi Muhaimin bangkit dari peraduannya.Selain faktor tidak selesa,kehendak hatinya yang ingin melihat sendiri kesan amukan ombak tsunami.Fajar sadik hampir menjelma dan subuh akan pergi.Muhaimin sendirian berjalan menelusuri denai-denai itu.Hatinya terusik melihat segala kemusnahan itu.Namun,buaian perasaannya terhenti.Dia teringat akan misi menghulurkan bantuan kemanusiaan.Misi itu adalah misi berkumpulan bukan misinya sendiri.Lantas dia kembali semula ke kawasan perkhemahan.

***
Kenderaan pacuan empat roda bergerak perlahan di jalan raya.Di bahu-bahu jalan kelihatan sisa-sisa kesan tsunami.Kenderaan itu berhenti.Kumpulan itu berjalan hingga ke satu kawasan yang berpenghuni.
“Tolong,pak!Tolong!” Muhaimin terdengar satu rintihan.
“Majid,sini sekejap.Cuba kau dengar.”Majid berlari mendapatkan Muhaimin.Dia cuba mengamati suasana.
“Tolong,pak...!”rintih suara itu lagi.
“Yalah,Min.Suara itu datang da sekitar sini.”
Mereka bertindak.Mata melilau-lilau mencari lokasi suara itu.Akhirnya seorang pemuda ditemui dicelah timbunan kayu.Muhaimin memanggil rakan-rakannya yang lain.Mereka bersama-sama megeluarkan pemuda itu dari ruang keperitan.Bayangkan,
sudah seminggu tsunami berlalu,namun dia masih dapat bertahan.Pemuda bertuah itu dibawa ke khemah untuk dirawat.

***

Keesokan hari,Muhaimin berkelana lagi.Kali ini di sebuah kawasan yang dahulunya terdapat deretan kedai.Namun kini yang tinggal hanya batu-batu yang masih kukuh bersama sampah sarap dan kayu-kayu yang hanyut.Pandangan matanya terarah ke suatu objek.Diamati benar-benar objek itu.Didekati perlahan-lahan.Tiba-tiba langkahnya terhenti.
“Ya Allah!Apa benar yang aaku lihat?”teriaknya dalam hati.
Objek yang dilihatnya tadi ialah seorang kanak-kanak lelaki.Keadaannya sungguh daif!Hanya seluar tergantung dibadannya.Luka-luka yang masih berdarah merata di tangan dan kakinya.Keadaannya yang meringkuk sebentar tadi dianggap Muhaimin seperti seekor haiwan.Rambutnya tidak terurus.Muhaimin menggerakkan badan kaku itu.
“Budak ini masih hidup.Dia mesti diselamatkan!”getusnya dalam hati.
Tubuh itu dirangkul kemas.Setibanya di khemah Mercy,kanak-kanak itu dihantar terus kepada doktor.Dia,doktor dan petugas-petugas lain merawat luka-luka kanak-kanak itu.

***

Muhaimin mendekati kanak-kanak itu.Ada riak tidak senang terlukis diwajahnya.Rasa tidak senang itu bertukar kepada ketakutan.Muhaimin cuba duduk di sebelah kanak-kanak itu.Dia mengukir senyum dan menghulur salam.
“Nama kamu siapa?” soal Muhaimin.Kanak-kanak itu diam.
“Jangan takut,cakap sahaja.” Pujuk Muhaimin.
“Firdaus.”
Pada kesempatan itu,Muhaimin merisik akan sejarah hidupnya dahulu.Firdaus,
anak kepada seorang ustaz dan ustazah di kawasan itu.Ibu bapanya menghadap Ilahi dalam tragedi itu.Kini hanya tinggal dia sebatang kara.Hari-hari yang dilalui di sana amat bermakna semenjak perkenalannya dengan Firdaus.Dia ingin menjadikan Firdaus sebagai
anak angkat.Hasratnya itu disuarakan kepada Firdaus.Ternyata Firdaus tidak menolak permintaan Muhaimin.Dia mahu memulakan kehidupan baru.Tragedi pilu mahu dipadamkan dalam hidupnya.

***

Semua urusan sudah dibereskan.Baik misi kemanusiaan mahupun pengurusan membawa Firdaus ke Malaysia.Hampir sebulan telah berlalu.Esok,mereka akan pulang ke bumi tercinta.
“Ngak mahu!Tolong!Tolong!”
Ledakan suara itu memecah suasana.Muhaimin terus menuju ke arah suara yang menerjah kupingnya.Langkahnya dipantaskan.Panah matanya mencari sasaran ke seluruh sudut.
“Pak,tolong pak!” jerit Firdaus memanggil Muhaimin.
“Hoi!Apa kamu buat pada dia?!” Langkahnya semakin hampir menuju ke arah Firdaus dan seorang pemuda.Semakin dekat dia menghampiri,tiba-tiba lelaki itu kabur.Firdaus menghela nafas lega dan terus mendakap Muhaimin.

***


Akhirnya kaki memijak lantai balai ketibaan.Munajat kesyukuran dilaung dalam sukmanya.Firdaus di sisi masih tercengang-cengang kagum dengan pemandangan di kawasan itu.
Zahiah tercari-cari kelibat Muhaimin.Sepurnama yang lalu tegar dia menghalang hasrat murni suaminya itu.Saat ditinggalkan dia menyesali perlakuannya.Kerinduan yang bercampur keresahan dan kekesalan menjadi kabus dalam hatinya.
Lambaian tangan Muhaimin memancarkan sinar keriangan pada wajah Zahiah.Keresahan selama ini terus lenyap terpadam.Tangan Muhaimin disambut dan dikucup mesra.Senyuman dibibir diukir sehabis manis.Kehadiran kanak-kanak lelaki di sisi Muhaimin menimbulkan persoalan di benak fikirannya.Kerutan di dahi dan persoalan yang terlakar pada wajah Zahiah dapat difahami Muhaimin.
“Za,ini Firdaus.Anak kita,” terang Muhaimin kepada Zahiah.
“Anak kita?” Zahiah terpinga-pinga.Matanya meneliti tubuh Firdaus dari atas ke bawah.
“Inilah kebaikan yang datang pada abang.”
Zahiah cuba memahami penjelasan itu.Diamati dalam-dalam makna disebalik ungkapan itu.Kemudian,isu anak lelaki antara dia dan Muhaimin menerjah kembali.Seorang anak lelaki yang selama ini diimpi kini menjelma.Memang mereka punya anak,tetapi hanya anak perempuan.
“Anak ini abang harap dapat menjadi payung berteduh buat Zahiah dan anak-anak apabila abang tiada nanti.”Zahiah mengukir senyum kembali.Ada sinar keriangan terpancar dalam kolam matanya.Tubuh Firdaus didakap erat.Firdaus yang mulanya seperti tiada perasaan turut membalas dakapan itu.Diari hidupnya kini bermula.Ayah dan ibu yang telah hilang kini berganti.Walau berbeza rupa dan paras,dia pasti kasih dan sayangnya sama.Mereka beriringan ke kereta Gen-2 rona kelabu.Seusai isinya memenuhi ruang,kereta itu meluncur laju ke arah destinasi yang dituju.

Hadiah Sastera Darul Takzim...

Awal bulan ni,aku dapat surat daripada Yayasan Warisan Johor.Bila mak telefon,bagi tau,aku macam biasa je..Tapi bila sampai je rumah,tengok sampul surat tu macam teruja sangat.'URUSAN KERAJAAN'.Lepas tu bila buka sampulnya,baca isinya,lagila teruja....!!
Tak sangka sangat..hasil tulisan aku dinilai dan dipilih untuk menerima hadiah bagi kategori karya penulis remaja bawah 19 tahun.huhu...alhamdulillah..seronok sangat..=)

Karya yang dipilih,'Putera Tsunami' dan 'Di Tanah Ini'.Karya tu ditulis masa aku form 6.Dan masa tu,aku tengah mengikuti perkampungan penulis muda negeri johor..Hehe..17 Julai ni hari penyampaian hadiahnya di Persada Johor.Hm...baru permulaan..Hadiah ni satu pembakar semangat untuk aku lebih aktif lagi menulis.Sekarang ni aku pun masih menulis,cuma belum dihantar untuk edit dan diterbitkan.Takut....orang nak baca ke??Sebab mentaliti masyarakat kurang nak baca karya-karya sastera..Tapi tak apa...ada cara lain...dan sasaran aku sekarang,nak hasilkan karya berunsur Islamik sebagai wadah untuk berdakwah...

Sekali menulis,terus menulis....=)

Monday, June 29, 2009

Bukan lagi teller baru...

Pejam celik,pejam celik,dah setahun aku bekerja as teller.Kiranya bukan lagi teller barula..haha.
Erm...4 Mei 2009 genap setahun aku bersama BSN dan 15 Mei 2009 genap setahun aku bekerja sebagai teller di BSN.Dalam pada merana tak dapat masuk 'u',akhirnya aku redha dengan ketetapan Yang Maha Kuasa.Mungkin ini yang terbaik untuk aku.Setahun yang lepas,aku hampir gila.Aku dapat surat tawaran belajar di UPM,Bachelor Komunikasi,bidang yang aku minat sangat.Tapi masa tu aku trainee kat BSN.Untukk puaskan hati,aku solat istikharah.Sebenarnya sebelu terima offer BSN,aku dah istikharah.Tapi tak dapat petunjuk....

Istikharah yang entah ke berapa kali ni,akhirnya aku diberi petunjuk...

Malam selepas istikharah,aku mimpi nampak pokok pinang,tapi bukan macam pokok pinang.Buahnya rambutan...lebat sangat...Cerita pada mak,mak senyum je..sebab mak pun mimpi yang sama..

"Pokok pinang tu umpama pohon pitis.." selamba mak bercakap.Mula-mula aku tak faham..Melihat air muka aku yang macam 'lambat' je,mak cakap:
"Pohon pitiskan lambang BSN...."
Macam tak percaya...tapi itulah hakikatnya..
Sekarang dah setahun sebulan 14 hari aku jadi teller...=)

Friday, January 9, 2009

antara kehendak dan keperluan...

aku sebenarnya tengah berangan-angan nak beli kereta...tapi kereta ape ye??

ingatkan nak pakai kereta myvi...tapi semua tanya aku balik,mampu ke?

mampu je la kot...walaupun gaji aku sekitar seribu lebih je...
tapi,nak buat macam mana..aku mesti ada kereta untuk memudahkan pergerakan aku ke tempat kerja.sampai bila aku nak tumpang orang?seganla..sebab yang aku tumpang tu laki orang...haha.

erm...so,beli kereta ni apa tujuannya ye?
kehendak atau keperluan?fikir-fikirkan...tepuk dada tanya selera,tanya hati,jawab sendiri!!=p

Sunday, January 4, 2009

permulaan...

hm...
hari ni,hari pertama buat blog...saje suka2..
boleh share macam-macam dgn org lain..mula-mula tu tak tahu nk letak nama blog apa.
spontan je dapat ilham,sesuai dengan profesion sekarang.hehehe..